Khamis, 28 Mac 2013

Ulasan "Bahasa Slanga Remaja" Dewan Bahasa, Oktober 2012


Apabila saya membaca artikel ‘Bahasa Slanga Remaja’ karya Muhammad Daud, terus saya terfikir, ‘Apakah yang dimaksudkan dengan 'bahasa slanga'?’. Menurut dari artikel ini, bahawa bahasa slanga merupakan ragam berbahasa yang wujud dalam pelbagai bahasa di dunia termasuklah bahasa Inggeris. Ada juga yang dinyatakan bahawa bahasa slanga ialah dialek daerah yang berlainan antara satu sama lain, ada yang dikaitkan bahasa slanga dengan cara pertuturan dan ada juga yang dinyatakan di dalam artikel itu, bahasa slanga ini sebagai bahasa mesra.

Dari pemahaman saya, bahasa slanga ialah bahasa yang dipertuturkan sekumpulan penutur tertentu seperti golongan remaja. Berdasarkan artikel Muhammad Daud, bahasa slanga ini digunakan oleh golongan remaja untuk berkomunikasi antara satu sama lain dan hanya difahami oleh kelompok itu sahaja. Bahasa slanga dikenali juga sebagai bahasa kutu atau bahasa rocker dalam kalangan remaja. Bahasa yang digunakan tidak rasmi, tidak baku dan bersifat tidak kekal dan berubah-ubah mengikut peredaran semasa. Pada pendapat saya, apabila kamu bercakap, percakapan itu adalah suatu perbuatan yang mengekspresikan diri kamu. Seingat saya, perkataan 'kacang je' (mudah sahaja), 'tuang' (ponteng) dan 'jambu’ (lembut) telah menjadi bahan mainan mulut para remaja selama ini. Bahasa slanga ini juga turut dipopularkan oleh penyanyi rock. Ungkapan-ungkapan yang popular pada awal tahun 80-an ialah tangkap cintan, tangkap leleh, mengancam, tangkap nangis di samping penggunaan ganti nama 'lu' dan 'gua'.
 

Pada hari ini, penggunaan bahasa slanga semakin popular terutama dalam penggunaan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial seperti Facebook. Kadang-kadang pening kepala saya memikirkan maksud perkataan cikaro, usya, skema, poyo dan banyak lagi. Hal ini demikian kerana bahasa yang digunakan itu terlalu pelik dan sukar untuk difahami maksud yang cuba disampaikan. Golongan remaja yang mempopularkan bahasa slanga selalunya memanipulasikan ungkapan atau perkataan dengan memberi makna baharu kepada perkataan tersebut. Dalam bentuk tulisan, bahasa slanga juga digunakan dapat menarik minat pembaca dalam bahan bacaan ringan seperti komik dan majalah hiburan yang diterbitkan.

Selain itu, penggunaan bahasa ini menjadi satu gaya hidup yang wajib bagi golongan remaja untuk membuktikan bahawa mereka mengikuti perkembangan semasa. Sebaliknya, individu yang menggunakan bahasa Melayu baku dianggap sebagai ketinggalan zaman. Mereka berasa bangga dengan bahan ciptaan kumpulan mereka tanpa menghiraukan tatabahasa yang betul. Hal ini kerana bahasa slanga ini dianggap sebagai kemudahan atau penjimatan ruang dalam menyemai maklumat kepada pengguna. Pada pandangan saya, penggunaan bahasa slanga ini sebenarnya memperkecilkan bahasa Melayu yang pada asasnya memberi gambaran betapa merosotnya bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan.

Di samping itu, media massa juga berperanan besar dalam hal ini. Penggunaan perkataan yang tidak sesuai yang ditonjolkan di dalam drama, filem dan juga lagu-lagu sedikit sebanyak menjadi ikutan remaja masa kini. Akibatnya, remaja terbawa-bawa dalam kehidupan seharian. Hal ini selanjutnya mampu mencorakkan sikap dan emosi kita terhadap perkara yang berlaku di sekeliling. Kesannya, kita bakal membentuk tingkah laku dan emosi yang negatif.

Dari pemerhatian saya, tiada pihak atau badan khas yang bertanggungjawab menjaga dan menegur kesalahan bahasa khasnya dalam media massa terutama media elektronik, jika ada pun hanya teguran dalam bentuk recana tetapi tiada tindakan susulan. Walaubagaimanapun, terdapat juga majalah yang mengkhusus dalam memberikan tunjuk ajar dan teguran tetapi tidak mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat atau badan korporat, hanya segelintir pelajar yang menggunakannya, itu pun untuk tujuan peperiksaan sahaja.
 
Istilah-istilah ini pada peringkat awal digunakan hanya untuk memeriahkan suasana sahaja. Namun begitu, lama-kelamaan istilah ini menjadi budaya dalam percakapan. Hal ini menyebabkan generasi muda yang akan datang akan terpengaruh dengan budaya bahasa slanga yanga digunakan pada masa kini. Kesan penggunaan bahasa slanga secara meluas ini akan menimbulkan banyak istilah baru  muncul pada masa akan datang. Jika direnungkan sejenak apakah kesan jangka panjang jika bahasa slanga masih terus digunakan oleh generasi kini, maka dapat disimpulkan bahawa generasi akan datang akan mewarisi bahasa melayu yang telah menggunakan istilah-istilah baru.

Pada saya, walaupun perkembangan bentuk slanga tidaklah begitu membimbangkan, saya khuatir penggunaannya akan menular daripada bentuk lisan kepada bentuk penulisan. Penggunaan bahasa slanga jika tidak dipantau dibimbangi akan merencatkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu hari ini, lebih-lebih lagi dengan kedudukan bahasa kita yang seolah-olah makin tiada tempat lagi di negara sendiri.

 
Pernahlah anda dengar ungkapan "Bahasa Jiwa Bangsa"? Maksudnya, daripada bahasa orang dapat mengenal kita. Bahasa penting bagi menggambarkan identiti sesebuah negara. Jika bahasa yang kita gunakan bersifat kurang ajar atau tidak sopan, maka secara tidak langsung identiti kita turut menjadi tidak sopan. Dalam masyarakat Melayu, jika kita berbudi bahasa, sopan dan tahu akan adat resam dikatakan kita berbahasa.

Love Allah S.W.T, Rasullah S.A.W, Family n all People ^_^

1 ulasan: