Izinkan saya memperkenalkan diri saya. Nama saya, Azreen Nur Binti Sarudin. Saya berumur 24 tahun dan semester 2013/2014 adalah semester terakhir saya belajar dalam peringkat ijazah sarjana muda. Saya lahir dari keluarga yang sederhana. Emak dan ayah saya hanya bersekolah di peringkat sekolah menengah memandangkan mereka mempunyai ahli keluarga yang ramai dan masalah kewangan. Mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan dan berazam tidak mahu anak-anak mereka menghadapi nasib yang sama seperti mereka. Mereka merupakan ibu bapa yang tegas dan pada masa yang sama, mereka juga penyayang. Seperti ibu bapa yang lain, mereka juga mengimpikan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran dan mendapat pekerjaan yang menjamin masa depan.
Sudah 7 tahun, dunia SPM berlalu. Banyak perubahan berlaku dalam hidup saya sejak dari itu, ada yang baik dan ada juga yang buruknya. Selepas SPM, saya ditawarkan ke Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma. Saya pun menerima tawaran tersebut. Di Politeknik, saya dapati persekitarannya menarik, sesuai untuk belajar dan berseronok dengan kawan-kawan. Pendek kata, 'best giler la masa tu'. Terus terang saya katakan, subjek-subjek di politeknik tidaklah susah untuk dipelajari. Sekiranya anda mahu lulus, in sha Allah, dengan izin Allah, memang anda boleh lulus. Walaupun pada mulanya, saya tidak minat dengan subjek bisnes, Alhamdulilah, dengan izin Allah, saya lulus dengan cemerlang dan mendapat Anugerah Ketua Jabatan selama 3 tahun di situ. Target saya hanyalah untuk lulus, gembirakan ibu bapa saya dan tamatkan pengajian.
Selepas tamat pengajian di Politeknik Seberang Perai, memang rasa mahu menjerit "MERDEKA", betulkan? Gembira sangat pada masa itu, tetapi orang tua kata yang hidup ini, perlu teruskan hidup. Sebab apa? Sebab banyak perkara yang perlu kita hadapi. Jadi, rancang hidup ini dengan baik. diringkasakan cerita, selepas tamat diploma, saya mula bekerja di Kedai Buku MPH, Subang Parade sebagai khidmat pelanggan dengan gaji permulaan RM900. Minggu kedua bekerja, saya dikehendaki menyertai kursus di Kedai Buku MPH, Mid Valley. Kursus itu memang menyeronokkan dan tidak membosankan. Antara kerja saya pada masa itu ialah mengemas buku dan mencari buku sekiranya pelanggan memerlukan pertolongan. Kerja melibatkan berurusan dengan pelanggan ini, adakalanya dapat pelanggan yang baik. Tetapi ada juga yang berkasar dengan kita dan juga sombong. "Customer always RIGHT". Pernah sekali ada seorang ibu ini, dia mencari buku Pendidikan Moral. Ibu itu berkata, "Saya nak buku Pendidikan Moral!". Saya pun cuba mencari melalui sistem. Buku Pendidikan Moral hanya ada satu sahaja dalam kedai buku kami. Kebarangkalian untuk menjumpai buku itu, agak sukar. Jadi, saya cadangkan kepada ibu tersebut untuk mendapatkan buku tersebut di Kedai Buku MPH, One Utama. Tetapi, si ibu ini, dia tetap mahu juga saya cari. Saya pun mencari dari satu rak ke satu rak tetapi masih tidak dijumpai. Maka, mengamuk la si ibu ini. Hanya Allah tahu apa isi hati saya masa itu. Luaran, memang sabar dengan perangai pelanggan itu. Teman sekerja saya berkata, "Sabarnya reen. Dia memang perangai macam tu, berlagak. Mentang-mentang dia kelas tinggi." Hujung bulan November 2010, rasa sedih tinggalkan kawan-kawan sekerja. Walaupun 6 bulan berkerja di situ, tetapi rasa macam dah bertahun bekerja di situ. Banyak pengalaman yang saya timba sepanjang bekerja di MPH. Dari tidak tahu menjadi lebih tahu,kawal emosi, layan kerenah pelanggan yang pelbagai ragam dan apa yang penting? KERJASAMA. Hehe. Semua staf layan saya macam adik tetapi ada juga yang suka buli. Semua ini adalah kenangan yang tidak akan dilupakan. Selepas bekerja selama 6 bulan, saya telah mendapat tawaran belajar di UUM. Saya membuat keputusan untuk berhenti kerja dan menyambung pengajian saya ke peringkat ijazah sarjana muda di UUM.
Setibanya di UUM, saya tergamam dengan keindahan alam sekitarnya yang menghijau. UUM, tidaklah seteruk mana yang saya sangkakan. Hari pertama di UUM, bersamaan 9 Januari 2011, jam 9 pagi, saya ditemani oleh ahli keluarga saya pergi mendaftar di UUM. Bermulalah sesi Minggu Suai Kenal selama seminggu. Hari Kedua, berada di UUM, perasaan masih lagi bercampur-baur antara sedih, sayu, gembira dan teruja. Hari pertama ke kelas, saya memang pening kepala dengan keadaan di UUM yang tidak sama dengan politeknik. Pengalaman kelas pada hari pertama amat memenatkan.
Selain tidak dapat lari dari rasa penat, sebenarnya saya berasa sangat tidak sabar. Tidak sabar untuk menamatkan detik-detik di semester akhir bergelar mahasiswi ini. Mungkin selepas ini, saya tidak berpeluang untuk datang ke Sintok lagi. Selepas ini, saya mesti rindu bersenam bersama kawan saya, Ima pada setiap petang. Pengalaman berada di universiti boleh menjadi satu kenangan yang terindah (macam lagu Samsons) jika kita melaluinya dengan betul dan baik.Tiada apa lagi hendak dikongsikan, sekarang ini saya banyak tugasan hendak disiapkan, biasalah semester akhir katakan. Doakan saya, dipermudahkan segala urusan. Ameen. Terima kasih sudi membaca ^_^
Tiada ulasan:
Catat Ulasan