
Dari
pemahaman saya, bahasa slanga ialah bahasa yang dipertuturkan sekumpulan
penutur tertentu seperti golongan remaja. Berdasarkan artikel Muhammad Daud,
bahasa slanga ini digunakan oleh golongan remaja untuk berkomunikasi antara
satu sama lain dan hanya difahami oleh kelompok itu sahaja. Bahasa slanga
dikenali juga sebagai bahasa kutu atau bahasa rocker dalam kalangan remaja. Bahasa yang digunakan tidak rasmi,
tidak baku dan bersifat tidak kekal dan berubah-ubah mengikut peredaran semasa.
Pada pendapat saya, apabila kamu bercakap, percakapan itu adalah suatu
perbuatan yang mengekspresikan diri kamu. Seingat saya, perkataan 'kacang je' (mudah sahaja), 'tuang' (ponteng) dan 'jambu’ (lembut) telah menjadi bahan mainan mulut para remaja selama
ini. Bahasa slanga ini juga turut dipopularkan oleh penyanyi rock.
Ungkapan-ungkapan yang popular pada awal tahun 80-an ialah tangkap cintan, tangkap leleh, mengancam, tangkap nangis di samping
penggunaan ganti nama 'lu' dan 'gua'.


Selain
itu, penggunaan bahasa ini menjadi satu gaya hidup yang wajib bagi golongan
remaja untuk membuktikan bahawa mereka mengikuti perkembangan semasa.
Sebaliknya, individu yang menggunakan bahasa Melayu baku dianggap sebagai
ketinggalan zaman. Mereka
berasa bangga dengan bahan ciptaan kumpulan mereka tanpa menghiraukan tatabahasa
yang betul. Hal ini kerana bahasa slanga ini dianggap sebagai kemudahan atau
penjimatan ruang dalam menyemai maklumat kepada pengguna. Pada pandangan saya,
penggunaan bahasa slanga ini sebenarnya memperkecilkan bahasa Melayu yang pada
asasnya memberi gambaran betapa merosotnya bahasa Melayu selaku bahasa
kebangsaan.
Di samping
itu, media massa juga berperanan besar dalam hal ini. Penggunaan perkataan yang tidak
sesuai yang ditonjolkan di dalam drama, filem dan juga lagu-lagu sedikit
sebanyak menjadi ikutan remaja masa kini. Akibatnya, remaja terbawa-bawa dalam
kehidupan seharian. Hal ini selanjutnya mampu mencorakkan sikap dan emosi kita
terhadap perkara yang berlaku di sekeliling. Kesannya, kita bakal membentuk
tingkah laku dan emosi yang negatif.
Dari
pemerhatian saya, tiada pihak atau badan khas yang bertanggungjawab menjaga dan
menegur kesalahan bahasa khasnya dalam media massa terutama media elektronik,
jika ada pun hanya teguran dalam bentuk recana tetapi tiada tindakan susulan. Walaubagaimanapun,
terdapat juga majalah yang mengkhusus dalam memberikan tunjuk ajar dan teguran
tetapi tidak mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat atau badan korporat,
hanya segelintir pelajar yang menggunakannya, itu pun untuk tujuan peperiksaan
sahaja.

Istilah-istilah
ini pada peringkat awal digunakan hanya untuk memeriahkan suasana sahaja. Namun
begitu, lama-kelamaan istilah ini menjadi budaya dalam percakapan. Hal ini
menyebabkan generasi muda yang akan datang akan terpengaruh dengan budaya
bahasa slanga yanga digunakan pada masa kini. Kesan penggunaan bahasa slanga
secara meluas ini akan menimbulkan banyak istilah baru muncul pada masa akan datang. Jika
direnungkan sejenak apakah kesan jangka panjang jika bahasa slanga masih terus
digunakan oleh generasi kini, maka dapat disimpulkan bahawa generasi akan
datang akan mewarisi bahasa melayu yang telah menggunakan istilah-istilah baru.
Pada
saya, walaupun perkembangan bentuk slanga tidaklah begitu membimbangkan, saya
khuatir penggunaannya akan menular daripada bentuk lisan kepada bentuk
penulisan. Penggunaan bahasa slanga jika tidak dipantau dibimbangi akan
merencatkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu hari ini, lebih-lebih lagi
dengan kedudukan bahasa kita yang seolah-olah makin tiada tempat lagi di negara
sendiri.
Pernahlah anda dengar ungkapan
"Bahasa Jiwa Bangsa"? Maksudnya, daripada bahasa orang dapat mengenal
kita. Bahasa penting bagi menggambarkan identiti sesebuah negara. Jika bahasa
yang kita gunakan bersifat kurang ajar atau tidak sopan, maka secara tidak
langsung identiti kita turut menjadi tidak sopan. Dalam masyarakat Melayu, jika kita berbudi bahasa, sopan dan
tahu akan adat resam dikatakan kita berbahasa.