Apa yang anda faham mengenai "Kasih Sayang"? Pasti ramai yang mengaitkannya dengan C.I.N.T.A? Awak suka saya? Perkataan yang nampak seakan sama untuk diterjemahkan, namun jika diteliti membawa kepada pengertian yang sangat berbeza.
Dalam
hubungan sesama manusia, kasih kadang-kadang menjadi titik bermulanya rasa
sayang dan seterusnya rasa cinta.Untuk jatuh cinta...ia amat mudah apabila..seseorang itu memenuhi citarasa dan kehendak yang ditetapkan oleh setiap individu... Dan lihatlah hasil sebuah cinta apabila ia disambut dengan baik.
Bagi
saya senang sahaja, CINTA itu hanya untuk orang yang sah dan halal iaitu
pasangan suami isteri. CINTA… mencintai seseorang kalau ia boleh menghampirkan
saya kepada Allah. Cinta itu terlalu suci. CINTA… memelihara dan menjaga
kesucian seorang wanita yang disukai. CINTA… membelai dan menyayangi dia
sepenuh hati. Tidak akan menyakitinya, apa lagi melukakan hatinya serta menjaga
dan melindunginya. Menjadikan saya pendengar yang setia. Memandang pasangan
saya dengan penuh kasih sayang. Dia hanya untuk saya dan saya untuk dia. Matanya
hanya memandang saya. Hatinya hanya untuk saya bukan untuk orang lain.
Seorang
lelaki yang baik, semakin mendalam cintanya kepada seorang wanita, lebih
mendalam lagi kasih kepada ibunya. Semakin dia menghormati wanita yang dicintainya,
semakin tinggi penghormatannya kepada ibunya. Kerana ibunya seorang wanita,
maka dia tahu menyayangi dan disayangi. Dalam Islam sendiri, ibu terletak di
tempat teratas, 3 kali tinggi dari kedudukan seorang ayah. Seorang anak lelaki
walaupun sudah berkahwin, ibunya tetap nombor satu. Seorang isteri sampai
bila-bila pun tidak akan dapat menggantikan tempat seorang ibu. Menjadi satu dosa
kalau suaminya menyamakan isteri dengan ibunya, malahan anggota badan juga
tidak boleh disamakan.
Bila
dikaitkan dengan lelaki, pasti ramai wanita idamkan seorang lelaki yang
romantik. Bagaimana pula dengan perasaan romantik? Bukan romantik dalam
bercinta? CINTA…bukan untuk manusia sahaja. Cinta dan perasaan romantik itu paling
utama kepada Allah. Kalau tidak kerana
CINTA dan romantiknya perasaan Baginda SAW terhadap Allah, tidaklah Baginda
bersusah payah bangun malam berqiamullail sedangkan tempat Baginda SAW sudah
terjamin di syurga. Sudah diberi pelbagai janji oleh Allah. Tidakkah Baginda
meragui janji Allah? Tidak sama sekali. Tetapi Baginda terus beribadat dan
beramal kerana kecintaan Baginda SAW yang tinggi kepada Allah. Cinta Rasul dan
Nabi kepada Allah sangat tinggi maqamnya. Tidak tercapai oleh kita, manusia
biasa.
CINTA…
bukan berpegangan tangan, bercumbuan…itu NAFSU. CINTA…bukan sentiasa berjumpa
dan bertemu sampai larut malam membawa ke pagi. Itu juga NAFSU. Terlalu banyak
hendak dijelaskan mengenai CINTA. Berbilion manusia di dunia, maka berbilion
rasa cinta dan takrif masing-masing. Pada pandangan saya, semua cinta ada
maknanya tersendiri dan ekslusif untuk setiap orang. Erti CINTA tidak sama
antara satu sama lain. Tidak mengapa, memang Allah ciptakan manusia berbeza,
sedangkan cap ibu jari juga berbeza. Asalkan cinta itu tidak melanggar syariat,
maka bercintalah. Bercintalah dengan cara yang beradab, bermaruah dan
terpelihara. Kalau cintakan seseorang pastikan menjaga maruah dan kesucian
diri. Takkan menyentuh apa lagi merosakkannya.
Ke
mana sahaja kita pergi, jangan lupa asal usul, keturunan dan agama kita. Mengenali
susur galur keturunan akan melahirkan jati diri yang sejati dan teguh. Lebih baik
kalau dapat dipelajari dan dihayati. Barulah kita menghargai apa yang kita ada.
Bukan senang untuk mempelajari sesuatu bahasa dan mengenali sejarah sesuatu
bangsa. Perlukan minat dan kecintaan yang mendalam. Saya bertuah dilahirkan di
Malaysia dan paling bertuah dilahirkan dalam Islam. Saya mencintai setiap apa
yang Allah anugerahkan kepada saya. Apa sahaja… saya bersyukur.
Apa
yang kita miliki semuanya kepunyaan Allah, hanya dipinjamkan. Begitu juga
cinta, hati dan perasaan. Kita lahir ke dunia tanpa mengetahui takdir kita. Kita
hanya mengetahui di mana kita dilahirkan. Itu pun kerana tercatat di surat
beranak tetapi kita tidak tahu di mana kita akan meninggal, bagaimana kita akan
meninggal, dengan siapa jodoh kita, kita akan jatuh cinta kepada siapa dan kita
akan kahwin dengan siapa. Semuanya sudah disusun atur oleh Allah SWT. Sesuatu yang
sukar diingkari. Bila rasa itu timbul, kita tidak mampu menolaknya. Ia bukan datang
dengan sendiri, ia datang dengan izin Allah. Kalau Allah sudah menentukan kita
mencintai seseorang, walau satu dunia nampak dia buruk tetapi dia mata kita,
dialah yang paling cantik. Di mata dunia, dia paling jahat tetapi di mata kita,
dialah yang paling baik. Demikianlah perasaan Ummul Mu’minin, Siti Khadijah RA,
seorang janda kaya-raya, cantik jelita, idaman seluruh lelaki bangsawan di Kota
Mekah. Berapa ramai yang hampa apabila pinangan mereka ditolaknya. Tetapi kenapa
Siti Khadijah RA memilih Rasulullah SAW? Malahan meminang Baginda SAW? Baginda yang
yatim piatu, miskin, buta huruf, tidak mempunyai apa-apa? Kenapa? Tidakkah kita
berfikir? Jika Allah telah mencampakkan cinta di hati kepada seseorang maka
ingatan hanya kepadanya. Segala mengenainya indah dan mempesonakan. Allah
mempunyai tempat yang teratas di hati saya kerana Allah lah yang mencampakkan
rasa kasih dan sayang-Nya kepada kita. Dia yang mempertemukan dan melahirkan
rasa kasih di hati kita.
Kasih
sayang kerana Allah… api menjadi sejuk sebagaimana Nabi Ibrahim AS dibakar, Nabi
Ismail yang rela dikorbankan, Allah ganti dengan seekor kibas. Allah mendidik hati
saya letakkan cinta kepada Allah yang teratas. Dia yang layak dicintai sepenuhnya.
Bercinta kerana Allah, pasti Allah bantu. Ia cinta yang ikhlas. Keikhlasan itu,
hanya Allah yang tahu dan nilai.
Merenung
bulan, bintang dan langit, ia memberi satu ketenangan dan kedamaian yang tidak
terhingga, mengubat lara di hati dan menguatkan diri seolah-olah kita dapat
melihat kekuasaan dan kebesaran Allah SWT yang tidak terhingga. Melihat betapa
tinggi dan luas langit ciptaan-Nya, diri ini merasa kerdil di bawah naungan
kekuasaan-Nya. Rasa yang membuatkan sedar akan sifat kehambaan dan kecintaan
kepada-Nya. Dia sentiasa mengasihi, menyayangi dan mencintai kita tanpa gagal.