Jumaat, 10 Mei 2013

Kisah Kasih Sayang...






Apa yang anda faham mengenai "Kasih Sayang"? Pasti ramai yang mengaitkannya dengan C.I.N.T.A? Awak suka saya? Perkataan yang nampak seakan sama untuk diterjemahkan, namun jika diteliti membawa kepada pengertian yang sangat berbeza. 


Dalam hubungan sesama manusia, kasih kadang-kadang menjadi titik bermulanya rasa sayang dan seterusnya rasa cinta.Untuk jatuh cinta...ia amat mudah apabila..seseorang itu memenuhi citarasa dan kehendak yang ditetapkan oleh setiap individu... Dan lihatlah hasil sebuah cinta apabila ia disambut dengan baik.


Bagi saya senang sahaja, CINTA itu hanya untuk orang yang sah dan halal iaitu pasangan suami isteri. CINTA… mencintai seseorang kalau ia boleh menghampirkan saya kepada Allah. Cinta itu terlalu suci. CINTA… memelihara dan menjaga kesucian seorang wanita yang disukai. CINTA… membelai dan menyayangi dia sepenuh hati. Tidak akan menyakitinya, apa lagi melukakan hatinya serta menjaga dan melindunginya. Menjadikan saya pendengar yang setia. Memandang pasangan saya dengan penuh kasih sayang. Dia hanya untuk saya dan saya untuk dia. Matanya hanya memandang saya. Hatinya hanya untuk saya bukan untuk orang lain.

Seorang lelaki yang baik, semakin mendalam cintanya kepada seorang wanita, lebih mendalam lagi kasih kepada ibunya. Semakin dia menghormati wanita yang dicintainya, semakin tinggi penghormatannya kepada ibunya. Kerana ibunya seorang wanita, maka dia tahu menyayangi dan disayangi. Dalam Islam sendiri, ibu terletak di tempat teratas, 3 kali tinggi dari kedudukan seorang ayah. Seorang anak lelaki walaupun sudah berkahwin, ibunya tetap nombor satu. Seorang isteri sampai bila-bila pun tidak akan dapat menggantikan tempat seorang ibu. Menjadi satu dosa kalau suaminya menyamakan isteri dengan ibunya, malahan anggota badan juga tidak boleh disamakan.

Bila dikaitkan dengan lelaki, pasti ramai wanita idamkan seorang lelaki yang romantik. Bagaimana pula dengan perasaan romantik? Bukan romantik dalam bercinta? CINTA…bukan untuk manusia sahaja. Cinta dan perasaan romantik itu paling  utama kepada Allah. Kalau tidak kerana CINTA dan romantiknya perasaan Baginda SAW terhadap Allah, tidaklah Baginda bersusah payah bangun malam berqiamullail sedangkan tempat Baginda SAW sudah terjamin di syurga. Sudah diberi pelbagai janji oleh Allah. Tidakkah Baginda meragui janji Allah? Tidak sama sekali. Tetapi Baginda terus beribadat dan beramal kerana kecintaan Baginda SAW yang tinggi kepada Allah. Cinta Rasul dan Nabi kepada Allah sangat tinggi maqamnya. Tidak tercapai oleh kita, manusia biasa.


CINTA… bukan berpegangan tangan, bercumbuan…itu NAFSU. CINTA…bukan sentiasa berjumpa dan bertemu sampai larut malam membawa ke pagi. Itu juga NAFSU. Terlalu banyak hendak dijelaskan mengenai CINTA. Berbilion manusia di dunia, maka berbilion rasa cinta dan takrif masing-masing. Pada pandangan saya, semua cinta ada maknanya tersendiri dan ekslusif untuk setiap orang. Erti CINTA tidak sama antara satu sama lain. Tidak mengapa, memang Allah ciptakan manusia berbeza, sedangkan cap ibu jari juga berbeza. Asalkan cinta itu tidak melanggar syariat, maka bercintalah. Bercintalah dengan cara yang beradab, bermaruah dan terpelihara. Kalau cintakan seseorang pastikan menjaga maruah dan kesucian diri. Takkan menyentuh apa lagi merosakkannya.

Ke mana sahaja kita pergi, jangan lupa asal usul, keturunan dan agama kita. Mengenali susur galur keturunan akan melahirkan jati diri yang sejati dan teguh. Lebih baik kalau dapat dipelajari dan dihayati. Barulah kita menghargai apa yang kita ada. Bukan senang untuk mempelajari sesuatu bahasa dan mengenali sejarah sesuatu bangsa. Perlukan minat dan kecintaan yang mendalam. Saya bertuah dilahirkan di Malaysia dan paling bertuah dilahirkan dalam Islam. Saya mencintai setiap apa yang Allah anugerahkan kepada saya. Apa sahaja… saya bersyukur.


Apa yang kita miliki semuanya kepunyaan Allah, hanya dipinjamkan. Begitu juga cinta, hati dan perasaan. Kita lahir ke dunia tanpa mengetahui takdir kita. Kita hanya mengetahui di mana kita dilahirkan. Itu pun kerana tercatat di surat beranak tetapi kita tidak tahu di mana kita akan meninggal, bagaimana kita akan meninggal, dengan siapa jodoh kita, kita akan jatuh cinta kepada siapa dan kita akan kahwin dengan siapa. Semuanya sudah disusun atur oleh Allah SWT. Sesuatu yang sukar diingkari. Bila rasa itu timbul, kita tidak mampu menolaknya. Ia bukan datang dengan sendiri, ia datang dengan izin Allah. Kalau Allah sudah menentukan kita mencintai seseorang, walau satu dunia nampak dia buruk tetapi dia mata kita, dialah yang paling cantik. Di mata dunia, dia paling jahat tetapi di mata kita, dialah yang paling baik. Demikianlah perasaan Ummul Mu’minin, Siti Khadijah RA, seorang janda kaya-raya, cantik jelita, idaman seluruh lelaki bangsawan di Kota Mekah. Berapa ramai yang hampa apabila pinangan mereka ditolaknya. Tetapi kenapa Siti Khadijah RA memilih Rasulullah SAW? Malahan meminang Baginda SAW? Baginda yang yatim piatu, miskin, buta huruf, tidak mempunyai apa-apa? Kenapa? Tidakkah kita berfikir? Jika Allah telah mencampakkan cinta di hati kepada seseorang maka ingatan hanya kepadanya. Segala mengenainya indah dan mempesonakan. Allah mempunyai tempat yang teratas di hati saya kerana Allah lah yang mencampakkan rasa kasih dan sayang-Nya kepada kita. Dia yang mempertemukan dan melahirkan rasa kasih di hati kita.

Kasih sayang kerana Allah… api menjadi sejuk sebagaimana Nabi Ibrahim AS dibakar, Nabi Ismail yang rela dikorbankan, Allah ganti dengan seekor kibas. Allah mendidik hati saya letakkan cinta kepada Allah yang teratas. Dia yang layak dicintai sepenuhnya. Bercinta kerana Allah, pasti Allah bantu. Ia cinta yang ikhlas. Keikhlasan itu, hanya Allah yang tahu dan nilai.

Merenung bulan, bintang dan langit, ia memberi satu ketenangan dan kedamaian yang tidak terhingga, mengubat lara di hati dan menguatkan diri seolah-olah kita dapat melihat kekuasaan dan kebesaran Allah SWT yang tidak terhingga. Melihat betapa tinggi dan luas langit ciptaan-Nya, diri ini merasa kerdil di bawah naungan kekuasaan-Nya. Rasa yang membuatkan sedar akan sifat kehambaan dan kecintaan kepada-Nya. Dia sentiasa mengasihi, menyayangi dan mencintai kita tanpa gagal.



Love Allah S.W.T, Rasullah S.A.W, Family n all People ^_^